SINAR HARIAN
NUR FARHANA ABDUL MANAN
6 Ogos 2014
BALAKONG – Usianya baru mencecah 22 tahun, tetapi dia licik menipu
puluhan mangsa bagaikan sudah bertahun-tahun berpengalaman melakukan
jenayah terbabit.
Demikian gambaran mengenai seorang remaja perempuan yang menyamar
sebagai ejen pelancongan dan dipercayai sudah menipu lebih 26 mangsa
membabitkan kerugian hampir RM30,000.
Salah seorang daripada mangsa, Charles Ching, 23, berkata, dia
mengenali remaja terbabit menerusi seorang rakan dan bersetuju
menggunakan khidmat sebagai ejen bagi penganjuran program pendakian
Gunung Kinabalu bersama sepuluh rakannya.
Remaja berkenaan kemudian memintanya membayar wang deposit sebanyak
RM1,000 sebelum meminta 10 peratus lagi daripada jumlah keseluruhan
bayaran beberapa minggu selepas bayaran pertama dibuat Disember tahun
lalu.
Disebabkan mempercayai suspek yang turut memberi izin MyKad serta
gambar wajahnya dirakam, Charles memberitahu, dia melunaskan kesemua
baki bayaran apabila diminta.
Ejen pelancongan itu kemudian menghantar MMS salinan resit pengesahan
bayaran tertera kepala surat syarikat yang kelihatan seakan-akan asli.
Beri pelbagai alasan
Bagaimanapun selepas kesemua bayaran dijelaskan, Charles meminta ejen
memulangkan kembali wang deposit sebanyak RM1,000, tetapi usahanya gagal
apabila remaja itu memberi pelbagai alasan.
Disebabkan tidak berpuas hati, Charles kemudian menempah tiket penerbangan dan terus ke Sabah bertemu suspek.
Pada mulanya remaja itu enggan bertemu, namun akhirnya akur.
Ketika pertemuan, wang deposit dijanjikan gagal dipulangkan menyebabkan
satu surat perjanjian menyatakan tindakan undang-undang dan laporan
polis akan dibuat sekiranya suspek masih mungkir janji.
“Dia beritahu bank dah tutup, kad ATM tinggal di rumah dan banyak
alasan lain mengelak untuk bayar kembali wang deposit,” katanya.
Charles berkata, dia terkejut setelah dimaklumkan oleh seorang ejen
pelancongan lain bahawa remaja wanita ini terkenal sebagai penipu di
Sabah.
Menurut ejen pelancongan tersebut, ramai pernah ditipu dan jenayah dilakukannya juga pernah dilaporkan akhbar sebelum ini.
“Saya dan rakan kemudian ke Pejabat Tourism Sabah untuk membuat
laporan, sekali lagi saya tersentak apabila dimaklumkan ejen ini sudah
menipu lebih 26 orang mangsa dengan kerugian puluhan ribu ringgit,”
katanya lagi.
Tunjuk transaksi palsu
Tambah Chales, bagaimanapun agak mengejutkan apabila suspek
menghubunginya beberapa hari selepas itu bertujuan membatalkan trip dan
berjanji memulangkan semua wang yang dibayar sebelum ini.
Suspek turut mengirim MMS gambar transaksi bank yang menunjukkan dia sudah membuat pemindahan wang ke dalam akaun.
"Bila saya periksa akaun, memang tak terima duit yang dikatakan. Malah
pihak bank yang dihubungi juga memberitahu tiada apa-apa transaksi
berlaku.
“Saya bergegas ke cawangan bank setelah berasa curiga dan pegawai
bertugas sahkan transaksi itu palsu,” katanya yang membuat laporan di
Balai Polis Karamunsing Sabah dan Balai Polis Dang Wangi.
Sementara itu, Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee yang menerima aduan
mangsa berkata, beliau sudah menulis surat kepada Ketua Polis Sabah
memohon polis melakukan siasatan serta-merta.
Katanya, dengan adanya surat pengakuan dan dokumen palsu dibuat ejen terbabit, ia memudahkan lagi siasatan dibuat pihak polis.
“Jika didapati bersalah, suspek harus dituduh di mahkamah dan kegiatan
jenayahnya harus dihentikan bagi mengelakkan lebih ramai pelancong ke
Sabah sebagai mangsanya lagi,” katanya.