Friday, July 4, 2014

LARANGAN BERPUASA DISKIRIMINASI TERHADAP HAK ASASI MANUSIA



LARANGAN BERPUASA DISKIRIMINASI TERHADAP HAK ASASI MANUSIA

Merujuk kepada laman web South China Morning Post  pada 2 Julai 2014 yang telah melaporkan bahawa pihak berkuasa Negara China melarang pelajar, guru dan penjawat awam di kawasan etnik Uyghur, Xinjiang, berpuasa berikutan larangan yang sama dibuat beberapa tahun yang lalu,  Ahli Dewan Negeri Kawasan Balakong Ng Tien Chee menganggap tindakan tersebut sebagai diskriminasi terhadap hak asasi manusia untuk menganut dan mengamalkan agama yang dipercayai masing-masing.

Menurut Ng, beragama itu bukanlah satu budaya tetapi satu kepercayaan yang tidak boleh diambil ringan.  Bagi umat Islam, berpuasa pada bulan Ramadan merupakan satu ibadah yang mesti dijalani oleh setiap umat Islam pada setiap tahun bagi meningkatkan keimanan dan ketaqwaan mereka terhadap agama itu dan Tuhannya.Tindakan melarang berpuasa atas alasan menjaga kesihatan seperti yang diarah oleh Kerajaan Negara China adalah tidak wajar dan memaksa mereka makan dengan ugutan adalah sangat keji.

“Larangan berpuasa itu akan menaikkan perasaan marah penduduk Islam di kawasan itu dan menyemarakkan lagi semangat berjuang untuk menuntut hak masing-masing.  Kebimbangan Negara China tentang kewujudan militan yang dikatakan menuntut kemerdekaan dan berlakunya pertempuran penduduk Uyghur dengan pasukan keselamatan negeri akan lebih menjadi kenyataan ngeri sekiranya Kerajaan Negara China terus bertindak sedemikian,” Ng bertambah.

Oleh yang demikian, Ng berpendapat bahawa larangan tersebut haruslah dihentikan dengan serta-merta dan penduduk Islam di Negera China harus diberi kebebasan untuk menjalankan ibadah agama mereka.  Kerajaan Negara China juga harus menghormati kebebasan beragama dan tidak terlalu menggongkong rakyatnya.

Ng telah menganjurkan satu majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan buah kurma kepada 51 buah surau dan 5 buah masjid yang terletak di dalam kawasan DUN Balakong di Masjid Taming Jaya.  Beliau telah menyuarakan hasrat beliau untuk berkhidmat  untuk rakyat tanpa batasan politik, perkauman dan keagamaan. “Saya berharap untuk mendapat kerjasama daripada keseluruhan penduduk di Balakong agar maklumat dan suara akar umbi dapat didengari.  Untuk menjadi seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab,  saya perlukan maklumat tersebut agar permasalahan daripada semua lapisan penduduk dapat diketahui dan difahami oleh saya sebelum ia dapat diselesaikan,”kata Ng semasa berucap pada majlis tersebut. 

Turut Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming,  Ahli Majlis MPKj Thiaga,  Mohd Shah Meur dan wakil-wakil surau serta masjid.



No comments:

Post a Comment