Friday, November 12, 2010

Permintaan Dan Keperluan Yang Berbeza


Satu aduan telah diterima pada 6hb September 2010 apabila jalan masuk dari Persiaran Awana ke Jalan Pakis ditutup oleh Majlis Perbandaran Kajang berikutan permohonan Jawatankuasa Penaja Persatuan Penduduk Taman Fern Grove. Perkara ini telah menyebabkan perasaan tidak puas hati di kalangan penduduk-penduduk di taman perumahan berdekatan yang telah menggunakan jalan tersebut selama melebihi 10 tahun.

Sebagai Ahli Majlis merangkap Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon 2, saya telah memanjangkan aduan ini kepada Jabatan Kejuruteraan MPKj dan saya dapati penutupan tersebut adalah atas arahan Jabatan Perancangan Pembangunan MPKj dengan asas jalan tersebut adalah jalan haram berdasarkan pelan asal kawasan tersebut. Untuk menyelesaikan masalah ini, satu perjumpaan telah diadakan di rumah pengerusi jawatankuasa tersebut dan dalam perjumpaan itu, saya cuba memujuk mereka, beberapa orang penduduk Jalan Pakis untuk persetujuan bahawa jalan tersebut dibuka semula. Saya memang faham situasi dan masalah yang dihadapi oleh mereka iaitu kesesakan lalulintas di hadapan rumah mereka selain daripada pencemaran udara tetapi penutupan tersebut juga mengakibatkan bantahan yang sengit daripada penduduk-penduduk kawasan berdekatan. Satu cara penyelesaian mesti dicapai.

Perkara ini telah dibangkitkan di dalam beberapa mesyuarat di peringkat MPKj dan keputusan telah dicapai didalam Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Infrastruktur Dan Lalulintas Bil 9/2010. Satu keputusan yang adil telah dibuat. Memandangkan tiada sesiapa dari pihak MPKj dan penduduk-penduduk kedua-dua belah adalah pakar bidang ini, maka kami tidak boleh menentukan langkah-langkah yang bakal menyelesaikan kesesakan lalulintas di sana. Jesteru itu, kami memutuskan bahawa satu syarikat perunding yang berdikari akan di lantik untuk menjalankan kajian Trafic Impact Assessment (TIA). Keputusan yang muktamat akan dibuat berdasarkan kepakaran laporan tersebut. Penutupan dan pembukaan jalan akan ditentukan berdasarkan kepakaran perunding yang dijangka akan menyiapkan laporan tersebut dalam tempoh sebulan. Saya percaya dengan langkah ini, tidak ada sesiapa yang boleh meragu keputusan kami kelak dan saya berharap semoga orang awam memahami situasi saya yang terselit di tengah. Akhir kata, saya tidak dapat memenuhi keperluan dan permohonan semua pihak tetapi saya akan buat apa yang betul.