Tuesday, August 13, 2013

JPS Tidak Bertanggungjawab

Balakong - Penduduk di Jalan CU 9, Taman Cheras Utama berasa bimbang dan risau akan tebing Sungai Balak yang terletak di belakang rumah mereka akan runtuh lagi pada bila-bila masa. Mereka berasa amat kecewa dengan sikap Jabatan Pengairan dan Saliran ke atas aduan yang telah di buat pada tahun 2004, 2009 dan 2012, setiap kali selepas kejadian runtuhan.
JPS memaklumkan bahawa pokok-pokok telah ditanam untuk mengukuhkan tebing tersebut selepas aduan pertama pada tahun 2004 tetapi ia  runtuh lagi pada tahun 2009. Bagi kejadian terdekat pada hujung tahun 2012, aduan telah dibuat dan ia hanya memperbaiki tebing itu dengan memasang cerucuk besi sahaja. Walaubagaimanapun, cerucuk besi yang dianggarkan sepanjang 6 meter tersebut mula senget beberapa hari selepas pemasangan dan penduduk memanjangkan aduan tersebut kepada Ahli Dewan Negeri Kawasan Balakong Encik Ng Tien Chee (Eddie) yang baru sahaja dipilih pada bulan Mei 2013.

Ng, selepas melawat tapak tersebut telah memanjangkan aduan tersebut kepada JPS Selangor supaya pemantauan serta pemeriksaan dapat dijalankan agar keselamatan penduduk terjamin. "Saya dimaklumkan oleh penduduk bahawa JPS mula meletakkan konkrit di tebing tersebut lebih kurang sebulan saya menulis surat kepada JPS Selangor. Walaubagaimanapun, saya dan penduduk khuatir akan kekukuhan tebing tersebut berdasarkan cara pembaikian yang telah dilaksanakan. Besi cerucuk yang telah senget  sebanyak tidak kurang daripada 40darjah tiada sebarang sokongan dan dengan keberatan konkrit yang baru diletakkan diatasnya, adakah ia dapat menahan atau berapa lama ia boleh bertahan? Ng berkata.
Beliau turut menyatakan perasaan kecewa terhadap pihak JPS yang enggan menurun padang bersama beliau walaupun surat jemputan rasmi telah dihantar seminggu sebelum 29hb Julai 2013 dan menyifatkan sifat tersebut sebagai tidak bertanggungjawab serta enggan berhadapan dengan masalah. Ng bertambah:" Saya faham bahawa kemungkinan JPS menghadapi kesulitan dalam isu ini tetapi mereka harus, sekurang-kurangnya hadiri jemputan saya untuk melawat tapak agar saya dan penduduk tempatan dapat mendengar apakah masalah yang mereka hadapi. Seterusnya, saya sebagai wakil rakyat bolehlah bersama-sama mengikhtiarkan sesuatu."
Ismail Tahir, 57, yang telah bermastautin di Taman Cheras Utama selama 20 tahun berpendapat bahawa cara pembaikian yang telah digunakan tidak lengkap dan berharap seluruh tebing harus dikukuhkan dan bukannya sebahagian sahaja.