Balakong - Penduduk di Jalan CU 9, Taman Cheras Utama berasa
bimbang dan risau akan tebing Sungai Balak yang terletak di belakang
rumah mereka akan runtuh lagi pada bila-bila masa. Mereka berasa amat
kecewa dengan sikap Jabatan Pengairan dan Saliran ke atas aduan yang
telah di buat pada tahun 2004, 2009 dan 2012, setiap kali selepas
kejadian runtuhan.
JPS memaklumkan bahawa pokok-pokok telah ditanam untuk
mengukuhkan tebing tersebut selepas aduan pertama pada tahun 2004 tetapi
ia runtuh lagi pada tahun 2009. Bagi kejadian terdekat pada hujung
tahun 2012, aduan telah dibuat dan ia hanya memperbaiki tebing itu
dengan memasang cerucuk besi sahaja. Walaubagaimanapun, cerucuk besi
yang dianggarkan sepanjang 6 meter tersebut mula senget beberapa hari
selepas pemasangan dan penduduk memanjangkan aduan tersebut kepada Ahli
Dewan Negeri Kawasan Balakong Encik Ng Tien Chee (Eddie) yang baru
sahaja dipilih pada bulan Mei 2013.
Ng, selepas melawat tapak tersebut telah memanjangkan
aduan tersebut kepada JPS Selangor supaya pemantauan serta pemeriksaan
dapat dijalankan agar keselamatan penduduk terjamin. "Saya dimaklumkan
oleh penduduk bahawa JPS mula meletakkan konkrit di tebing tersebut
lebih kurang sebulan saya menulis surat kepada JPS Selangor.
Walaubagaimanapun, saya dan penduduk khuatir akan kekukuhan tebing
tersebut berdasarkan cara pembaikian yang telah dilaksanakan. Besi
cerucuk yang telah senget sebanyak tidak kurang daripada 40darjah tiada
sebarang sokongan dan dengan keberatan konkrit yang baru diletakkan
diatasnya, adakah ia dapat menahan atau berapa lama ia boleh bertahan?
Ng berkata.
Beliau turut menyatakan perasaan kecewa terhadap pihak
JPS yang enggan menurun padang bersama beliau walaupun surat jemputan
rasmi telah dihantar seminggu sebelum 29hb Julai 2013 dan menyifatkan
sifat tersebut sebagai tidak bertanggungjawab serta enggan berhadapan
dengan masalah. Ng bertambah:" Saya faham bahawa kemungkinan JPS
menghadapi kesulitan dalam isu ini tetapi mereka harus,
sekurang-kurangnya hadiri jemputan saya untuk melawat tapak agar saya
dan penduduk tempatan dapat mendengar apakah masalah yang mereka hadapi.
Seterusnya, saya sebagai wakil rakyat bolehlah bersama-sama
mengikhtiarkan sesuatu."
Ismail Tahir, 57, yang telah bermastautin di Taman Cheras
Utama selama 20 tahun berpendapat bahawa cara pembaikian yang telah
digunakan tidak lengkap dan berharap seluruh tebing harus dikukuhkan dan
bukannya sebahagian sahaja.