Friday, June 8, 2012

3 Restoran Diarahkan Tutup 14 hari Kerana Kotor



7/6 Kajang- Tiga buah restoran di kawasan Balakong menerima Notis Perintah Tutup di bawah UUK 62,  Undang-undang Kecil Perlesenan Establisymen Makanan  (MPKj) 2007 berikutan kegagalan  mematuhi arahan pegawai kesihatan MPKj untuk mengendalikan premis restoran tersebut dengan baik dan bersih.

Menurut Ahli Majlis Ng Tien Chee dari parti DAP, pemilik salah sebuah restoran yang terletak berdekatan dengan sebuah kompleks beli belah telah menerima Notis Perintah Tutup tersebut pada pukul lebih kurang 11 pagi, 7hb Jun 2012. Beliau diarahkan untuk memberhentikan perniagaan selama empat belas (14) hari kerana telah berlaku perlanggaran peruntukan di bawah Undang-undang Kecil atau sekatan lesen.  “Penutupan telah diarahkan supaya kerja-kerja cucian kedai mengikut nasihat pegawai kesihatan dapat dijalankan bagi memastikan kepentingan orang awam terjamin. Pegawai kesihatan telah mengarahkan supaya cucian premis dijalankan terutamanya di bahagian dapur dan lorong belakang restoran tersebut dan menegaskan pemasangan perangkap  minyak tambahan kerana perangkap minyak akan mengelakkan minyak dan sisa makanan daripada mengalir kedalam longkang semasa kerja-kerja cucian pinggan mangkuk dijalankan tiap-tiap hari,” kata Ng. Semasa pemeriksaan dijalankan, didapati juga terdapat lebih kurang 4 orang pembantu restoran tersebut gagal  membuktikan mereka telah menerima suntikan TY2 yang bertujuan untuk mengelakkan jangkitan penyakit sekiranya ada.  Walau bagaimanapun, restoran tersebut dibenarkan dibuka semula pada 12 tengahari, hari berikutannya setelah rayuan dikemukakan dan pegawai kesihatan MPKj berpuas hati dengan sikap pemilik restoran yang telah mematuhi semua arahan yang dinyatakan didalam notis tersebut.

Ng menyatakan bahawa pihak Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan MPKj telah mengambil langkah penutupan terhadap pemilik-pemilik restoran yang degil, iaitu mereka yang enggan mematuhi arahan pegawai kesihatan dari segi kebersihan dan kesihatan mulai Jun 2012. Menurut notis tersebut, restoran yang menerima notis diwajibkan untuk memberhentikan perniagaan dengan serta merta  selama empat belas hari untuk melaksanakan  arahan pihak majlis. Sekiranya arahan telah dipatuhi dalam masa kurang daripada tempoh yang diberikan, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada MPKj secara bertulis dan ia akan dibenarkan memulihkan perniagaannya selepas pemeriksaan dijalankan oleh pegawai kesihatan MPKj.










No comments:

Post a Comment