Sunday, July 29, 2012

Sampah haram: Ganjaran RM200 ditawarkan




KAJANG – Ganjaran sebanyak RM200 menanti penduduk di kawasan rumah kedai Taman Bukit Mewah di sini sekiranya berjaya mengambil gambar individu luar yang membuang sampah secara
haram di kawasan perumahan terbabit.

Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Lai Wai Chong berkata, inisiatif itu diambil bagi mengatasi masalah sampah di kawasan itu yang kerap berulang meskipun telah diselesaikan.

"Kedudukan rumah sampah yang terbuka memberi peluang kepada orang luar untuk membuang sampah. Sebelum ini pendudukada memohon untuk baik pulih rumah sampah sedia ada namun
sepanjang penguatkuasaan MPKj, walaupun rumah sampah dibaik pulih, masalah sampah haram tetap tidak dapat diselesaikan," katanya.

Menurutnya, masalah sampah haram ini dijangka dapat diselesaikan dengan penglibatan orang awam dalam menyalurkan maklumat kepada MPKj.

"Menjadi kesalahan sekiranya orang luar membuang sampah di kawasan perumahan ini dan sekiranya ditangkap mereka boleh didenda RM1,000," katanya ketika melawat ke kawasan
rumah kedai Taman Bukit Mewah, baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis MPKj, Ng Tien Chee dan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching.

Beliau berkata, pihaknya dalam usaha untuk berbincang dan mencadangkan merobohkan rumah sampah sedia ada.

"Kawasan rumah sampah yang dirobohkan boleh dijadikan lot parkir kenderaan dan bagi menyelesaikan masalah sampah, kita cadangkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) serta persatuan penduduk menyediakan tong sampah besar dan letak berdekatan bangunan," katanya.

Sementara itu, Tien Chee berkata, Jawatankuasa Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan MPKj mengatur strategi pelan untuk mengatasi masalah sampah haram ini.

“Antaranya dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan yang menjadi tumpuan dan mencadangkan agar saguhati kepada pemberi maklumat dinaikkan dari RM200 kepada
RM500 selain mengarahkan kontraktor terlibat untuk membersihkan sampah haram tersebut.

“Kita turut mencadangkan agar pihak MPKj menambahkan  Unit Risikan untuk membuat tangkapan pihak yang membuang sampah secara haram ini dan perkara ini akan dibincangkan
di mesyuarat akan datang,” katanya.

Wartawan Sinar Harian
27 Mei 2012 

No comments:

Post a Comment