Wednesday, January 28, 2015

Akhirnya... Cadangan Pengubahan Aliran Trafik Dilaksanakan


















Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) akan mengambilalih hak penyelenggaraan persimpangan bertingkat Lebuhraya Cheras-Kajang/Bandar Mahkota Cheras (LCK-BMC) daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Ini adalah untuk membolehkan cadangan menambahbaik aliran trafik di LCK-BMC supaya menukarkan trafik dari 6 fasa ke 4 fasa. Perubahan ini akan menambahkan tempoh lampu hijau dari arah Bandar Mahkota Cheras ke Lebuhraya Cheras-Kajang dan arah trafik dari Kuala Lumpur ke Bandar Mahkota Cheras dari 35 saat ke 60 saat. Berikutan perubahan ini, kenderaan dari arah Jalan Cecawi dan Jalan Kuari hanya akan dibenarkan untuk membuat pusingan kiri sahaja. Kenderaan yang ingin memusing kanan ke arah Bandar Tun Hussein Onn dari Jalan Cecawi akan membuat pusingan-u di hadapan Stesyen Petrol Petronas di Persiaran Bandar Mahkota Cheras manakala kenderaan yang ingin memasuki Bandar Mahkota Cheras dari Jalan Kuari perlu membuat pusingan-u di bawah persimpangan bertingkat Lebuhraya Cheras-Kajang/bandar Mahkota Cheras.

Selain daripada itu, dua persimpangan-u yang baru akan dibuka di sepanjang Lebuhraya Cheras-Kajang untuk kegunaan kenderaan yang keluar dan masuk dari Taman Industri Budiman. Simpang-u yang pertama akan dibina di jarak lebih kurang 120 kaki dari persimpangan bertingkat tersebut untuk membenarkan kenderaan dari Taman Industri Budiman yang menghala ke arah Kajang membuat pusing-u kiri tanpa melalui persimpangan bertingkat. Bagi kenderaan yang memasuki Taman Industri Budiman pula, boleh menggunakan persimpangan-u yang akan dibina di jarak lebih kurang 300 kaki dari lokasi Plaza Tol Batu 11 Cheras. " Ini akan mengurangkan kadar kenderaan yang menggunakan persimpangan bertingkat itu terutamanya kenderaan berat,"kata Ng Tien Chee, Ahli Dewan Negeri Kawasan Balakong.



Ng menyatakan bahawa cadangan ini merupakan cadangan daripada Persatuan Penduduk Bandar Mahkota Cheras, Persatuan Saudagar & Peniaga Bandar Mahkota Cheras dan mantan Ahli Majlis MPKj Lee Kee Hiong sejak tahun 2012. "Permohonan ini telah dikemukakan kepada pihak LLM sejak 2012 tetapi tidak menerima segala maklumbalas sehingga baru-baru ini. Walau bagaimanapun, pihak LLM telah membalas permohonan daripada MPKj ini dan saya nampak ia sebagai suatu perubahan yang sangat positif. Saya harap kerjasama sedemikian yang positif ini boleh berterusan demi kepentingan orang ramai ," Ng menambah.

Cadangan ini dianggarkan akan bermula pada 14hb Februari 2015 sebagai percubaan bagi tempoh 3 bulan. Penambahbaikan akan dibuat sekiranya terdapat apa-apa kecacatan dalam cadangan ini kelak.

* Jalan Cecawi adalah jalan susur di hadapan Masjid Batu 10 Cheras (Masjid Kuning sebelah Kompleks Penghulu)
*Jalan Kuari adalah jalan susur di sebelah Lebuhraya Cheras-Kajang bahagian sebelah Plaza Tol Batu 11 Cheras yang telah dirobohkan menghala kearah Kajang

No comments:

Post a Comment