Thursday, June 1, 2017

KERAJAAN PERLU MENGKAJI SEMULA SYARAT KONTRAK JUALAN PREMIS KOMERSIAL DAN INDUSTRI



KENYATAAN MEDIA NG TIEN CHEE, AHLI DEWAN NEGERI KAWASAN BALAKONG MERANGKAP SETIAUSAHA ORGANISASI DAP SELANGOR PADA 30HB MEI 2017

KERAJAAN PERLU MENGKAJI SEMULA SYARAT KONTRAK JUALAN PREMIS KOMERSIAL DAN INDUSTRI

Saya mendesak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya mengkaji semula syarat kontrak jualan pembelian premis komersial dan perindustrian. Menurut Peraturan 11, Kontrak Jualan, Peraturan-peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan & Perlesenan) 1989, Akta Pemaju Perumahan (Kawalan & Perlesenan) 1966 [Akta 118], pemaju wajib menyertakan Perakuan Layak Menduduki (CCC) dari Pihak Berkuasa Tempatan yang berkenaan ketika penyerahan premis yang telah siap di bina dalam tempoh masa sepertimana yang di nyatakan di dalam kontrak jual dan beli yang berkenaan. Ini telah menjamin hak pembeli kerana syarat-syarat yang berkepentingan pembeli seperti di atas adalah wajib di masukkan ke dalam kontrak jual dan beli.

Walau bagaimanapun, syarat ini hanya terhad kepada pembangunan jenis kediaman dan ia tidak merangkumi pembangunan jenis komersial dan industri.  Ia bermaksud pemaju boleh menentukan syarat-syarat perjanjian jual dan beli secara bebas tanpa tertakluk kepada sebarang had undang-undang. Sesetengah pemaju yang tidak bertanggungjawab telah mengambil kesempatan ini untuk memperdayakan pembeli dengan tidak memasukkan syarat dan tarikh penyerahan CCC ke dalam perjanjian berkenaan. Dalam keadaan sedemikian, pembeli akan menerima premis yang telah siap di bina dengan utiliti yang sepatutnya seperti bekalan elektrik dan air tetapi tanpa sijil CCC.

Tiada sebarang aktiviti perniagaan atau perindustrian di benarkan di dalam mana-mana premis komersial dan industri yang tidak mempunyai CCC. Ini termasuk permohonan kelulusan mengubahsuai dan juga permohonan lesen premis. Hakikatnya, pembeli terpaksa menanggung bayaran ansuran pinjaman bank tanpa sebarang pendapatan.

Saya juga mendesak Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Bin Omar agar jangan hanya minat berpolitik dan mengabaikan tugas beliau sebagai seorang menteri. Terdapat banyak lagi masalah yang seumpama memerlukan perhatian beliau dan menanti penyelesaian.  

No comments:

Post a Comment